Q1. Apakah itu Dunia Ceria?

Dunia Ceria ialah sebuah dunia maya yang diilhamkan oleh Astro Ceria khas untuk kanak-kanak. Ia merupakan sebuah dunia yang dipopulasikan oleh kanak-kanak, di mana mereka diberi hak kebebasan untuk menjalani kehidupan sendiri berdasarkan empat jenis kerjaya yang boleh dipilih.

Apa yang best kat Dunia Ceria?

Mini game yang menarik. Lagi rajin adik main, lagi banyak ganjaran adik dapat!

Rumah sendiri! Adik boleh beli perabot dan hias rumah adik sesuka hati.Nak melawat rumah kawan-kawan pon boleh.

Macam-macam jenis pakaian. Topi strawberi, baju pahlawan, seluar emas, semua ada!

Jumpa dan chat kawan-kawan dari seluruh Malaysia!

Terokai Gerudi Emas, Gua Cahaya Ceria, dan Pantai Ceria.

Q2. Bagaimanakah saya boleh bermain ataupun muat turun Dunia Ceria?

Melalui laman web

Anda perlukan sebuah komputer yang mempunyai sambungan internet. Lancarkan pelayar internet anda dan layari http://www.duniaceria.com.my untuk mendaftarkan akaun / log masuk.

Melalui Google Play Store

Muat turun aplikasi Dunia Ceria dari Google Play Store. Turuti arahan-arahan yang terpapar pada skrin untuk mendaftarkan akaun / log masuk.

Melalui App Store

Muat turun aplikasi Dunia Ceria dari App Store. Turuti arahan-arahan yang terpapar pada skrin untuk mendaftarkan akaun / log masuk.

Kemudian, wujudkan watak dan anda akan memasuki Dunia Ceria.

Q3. Adakah permainan Dunia Ceria percuma?
Dunia Ceria sememangnya percuma untuk semua, dan para pemain boleh menikmati pengalaman yang menyeronokkan tanpa perlu membayar apa pun. Akan tetapi, untuk memastikan Dunia Ceria kekal menarik, kami akan menawarkan beberapa kandungan/ciri premium yang berbayar dalam masa yang terdekat.
Q4. Bagaimanakah caranya untuk mengawal watak saya?
Senang saja! Gerakkan tetikus jika anda menggunakan komputer atau tekan jari anda pada skrin tablet/smartphone di mana anda ingin menggerakkan watak anda dan klik padanya. Watak anda akan berjalan ke arah tapak tersebut.
Q5. Bagaimanakah caranya untuk menggunakan peta?
Klik pada ikon peta yang berwarna merah di bahagian atas skrin. Selepas peta terpapar, klik pada mana-mana kawasan yang anda ingin lawati untuk pergi ke sana dalam sekelip mata!
Q1. Bagaimanakah saya hendak menambah rakan-rakan ke dalam Senarai Kawan saya?
Gerakkan watak anda ke arah watak lain yang ingin anda berkawan dengan. Klik pada watak tersebut. Satu laman pantulan akan muncul memaparkan butiran pemain Dunia Ceria tersebut. Klik pada ikon berkawan berwarna hijau pada dasar laman pantulan tersebut.
Q2. Bagaimanakah saya boleh mengetahui lokasi tepat rakan-rakan saya?
Klik pada butang rakan-rakan yang berada pada panel kawalan di bahagian bawah skrin. Sebuah senarai yang memaparkan kesemua rakan-rakan anda akan muncul di sebelah kiri. Klik pada nama rakan yang anda ingin ketahui lokasi tepatnya, kemudian klik pada ikon lokasi tepat.
Q3. Berapa ramai rakan-rakan yang saya boleh tambahkan ke Senarai Kawan saya?
500! Kami di Dunia Ceria percaya bahawa anda harus mengeratkan hubungan persahabatan dengan kawan-kawan anda.
Q4. Bagaimanakah saya boleh menghalang sesetengah pemain daripada menghubungi saya?
Daripada laman butiran yang memaparkan maklumat pemain tersebut, klik pada ikon halang.
Q5. Bagaimanakah saya boleh halang sesetengah rakan daripada Senarai Kawan saya?
Daripada laman senarai rakan-rakan anda, klik pada nama rakan yang anda ingin halang dan klik pada ikon halang.
Q1. Apakah jenis pelayar internet yang disyorkan untuk bermain dalam Dunia Ceria?

Kami telah mereka Dunia Ceria supaya ia boleh berfungsi pada kebanyakan komputer. Berikut adalah spesifikasi minimum yang disyorkan:

PC

Pemproses: Pentium III ke atas

Kelajuan: 1.4GHz ke atas

RAM: 1GB ke atas

Kelajuan modem: 256K ke atas

Sistem pengendalian: Windows XP, Vista atau 7

Pelayar internet: Internet Explorer 7, Firefox 4, Chrome 11, Safari 4

Flash player: Adobe Flash Player 11 (disyorkan)

Macintosh

Pemproses: PowerPC G5 atau teras Intel

RAM: 1GB

Kelajuan modem: 256K ke atas

Sistem pengendalian: Mac OS X 10.3 ke atas

Pelayar internet: Firefox 4, Chrome 11, Safari 4

Flash player: Adobe Flash Player 11 (disyorkan)

Untuk memastikan anda mempunyai versi Adobe Flash Player yang terbaru, sila layari laman web Adobe. Jika anda perlu mengemas kini Flash Player, anda boleh melakukannya dengan selamat pada laman ini secara percuma.

Q2. Pelayar internet jenis manakah yang disyorkan untuk bermain Dunia Ceria?

Pelayar internet yang kami syorkan ialah Firefox atau Chrome. Keperluan minimum bagi pelayar internet untuk Dunia Ceria adalah seperti berikut:

PC

Firefox 4

Chrome 11

Internet Explorer 7

Safari 4

Macintosh

Firefox 4

Chrome 11

Safari 4

Anda juga perlukan versi Adobe Flash Player yang terkini. Perisian percuma ini boleh dimuat turun atau kemaskini di http://get.adobe.com/flashplayer/.

Q3. Apakah yang boleh saya lakukan jika permainan tidak boleh bermula / tidak berjalan lancar?

Jika permainan bermasalah, kami cadangkan anda mengikuti langkah-langkah berikut:

1. Semak samada anda mempunyai versi Adobe Flash Player yang terbaru. Ia adalah perisian percuma yang berfungsi di dalam pelayar internet anda. Anda mungkin perlu memuat turunkan versi yang terbaru dari http://get.adobe.com/flashplayer/ dan pasangkannya kepada komputer anda.

2. Semak samada anda mempunyai versi terbaru pelayar internet anda.

3. Cuba buangkan cache.

4. Anda juga boleh mempercepatkan permainan dengan menutupi mana-mana tab pelayar yang lain serta mematikan program-program lain. Makin sikit program yang dihidupkan pada komputer anda, makin cepat jadinya permainan Dunia Ceria.

5. Jika anda menggunakan sambungan tanpa wayar (wireless connection) kepada internet, pastikan anda berada dalam kawasan liputan dan status sambungan anda dinyatakan sebagai “good” atau “excellent”.

6. Jika anda cuba memasuki Dunia Ceria dari sekolah ataupun pejabat, pembekal khidmat internet anda mungkin telah mengaktifkan “firewall” yang menghalang penggunaan permainan ini. Andai demikian, sila hubungi pihak pengelola IT anda.

Produk Apple

Anda memerlukan sekurang-sekurangnya sistem operasi iOS 7 untuk bermain dalam Dunia Ceria.

Produk Android

Anda memerlukan sistem operasi Android 4.2 Jelly Bean dan ke atas

Jika semua di atas tidak menyelesaikan masalah anda, sila hubungi kami dan nyatakan masalah anda secara ringkas. Anda juga boleh hantar emel kepada kami.

Pasukan Penyelaras Komuniti kami akan mengkaji masalah anda dan mencari jalan penyelesaian secepat mungkin.

Q4. Bagaimanakah caranya untuk membuang cache?

Jika anda rasa pergerakan anda dalam Dunia Ceria semakin lembab, anda mungkin perlu buangkan cache pelayar internet anda. Sebenarnya, adalah digalakkan anda lakukan ini dari semasa ke semasa, kerana ia seakan-akan tuning otomatik untuk komputer anda!

Chrome

1. Klik butang “Customise and control Google Chrome” yang terletak pada sisi kanan atas pelayar internet anda (ikon tiga palang mendatar).

2. Pilih “History” daripada menu kotak pilihan yang muncul.

3. Klik butang “Clear browsing data…”.

4. Palangkan kotak di sebelah “Empty the cache” kemudian klik butang “Clear browsing data”.

Internet Explorer

1. Klik butang “Tools” yang terletak pada sisi kanan atas pelayar internet anda (ikon gear).

2. Pilih “Internet options” daripada menu kotak pilihan yang muncul.

3. Klik butang “Delete…” di bawah bahagian “Browsing history”.

4. Klik butang “Delete” pada laman pantulan yang muncul.

Firefox

1. Klik butang “Firefox” berwarna jingga yang terletak pada sisi kiri atas pelayar internet anda.

2. Ajukan tetikus anda kepada perkataan “History”.

3. Pilih “Clear Recent History” daripada menu kotak pilihan yang muncul.

4. Pada laman pantulan yang muncul, di bawah bahagian “Time range to clear”, pilih “Everything” daripada menu kotak pilihan yang terletak di sebelahnya.

5. Klik butang “Clear Now”.

Safari

1. Klik menu “History” pada palang navigasi yang terletak di kedudukan paling atas pada tetingkap pelayar internet anda.

2. Pilih “Clear History…” daripada menu kotak pilihan yang muncul.

3. Klik butang “Clear”.

Q5. Bagaimanakah caranya untuk set semula kata laluan?

Tak usah cemas jika anda lupa kata laluan anda, hanya ikut langkah-langkah berikut untuk “selamatkan” akaun anda:

1. Pada laman log masuk, klik pada pautan “Lupa kata laluan?”

2. Taipkan alamat emel ibu/bapa/penjaga anda dan tekan butang “Hantar”.

3. Minta ibu/bapa/penjaga semak emel dan buka emel daripada .

4. Klik pada pautan dalam emel tersebut.

5. Klik butang “Pasti” pada laman pantulan yang muncul.

6. Taipkan kata laluan baru kemudian tekan butang “Simpan”.

7. Cuba ingat baik-baik kata laluan baru ini!

Q1. Apakah antara ciri-ciri keselamatan yang terdapat dalam Dunia Ceria?

Pihak Astro mengambil 3 langkah berikut untuk memastikan Dunia Ceria adalah dunia maya yang selamat untuk anak-anak anda:

1. Bersesuaian

Dunia Ceria direka khas untuk kanak-kanak berusia 4–12 tahun. Kami di Dunia Ceria memahami bahawa semangat kekitaan penting bagi kanak-kanak. Jadi, kami memastikan mereka dapat berinteraksi, berkenalan dan bersosial secara selamat dalam Dunia Ceria

Kanak-kanak selalu mengagumkan kita dengan daya kreativiti mereka. Kami mengambil kira aspek ini dan memberikan mereka pelbagai cara untuk mengekspresinya, seperti fesyen, hiasan rumah serta lakon peranan untuk membantu menyemarakkan berimaginasi mereka.

Kami juga tahu kanak-kanak gemar bertemu dan menerokai benda-benda baru. Maka, kami memberi ruang kepada mereka untuk mencari rahsia-rahsia tersembunyi di sekitar Dunia Ceria, serta peluang untuk mengalami penjelajahan baru.

Semua ini dilakukan dengan niat murni untuk memberikan anak-anak anda suatu persekitaran online yang selamat untuk bergembira.

2. Butiran minima

Dunia Ceria memastikan pengumpulan butiran peribadi untuk mendaftar adalah pada tahap yang paling minima. Kami tidak menggalakkan mereka menggunakan nama sebenar ataupun mana-mana nama yang hampir sama sebagai nama watak mahupun nama akaun mereka.

Kami hanya menghantar emel kepada akaun emel ibu bapa / penjaga yang diberikan oleh anak anda semasa pendaftaran, itupun hanya dengan kebenaran daripada anda / anak anda. Anda boleh menukar tetapan ini pada bila-bila masa.

3. Tetapan bolehubah

Selaku sebuah dunia maya online untuk kanak-kanak, kami menawarkan fungsi perbualan (chat) sebagai alat komunikasi dalam permainan. Kami memberikan pilihan kepada ibu/bapa untuk mengaktifkan tetapan perbualan yang mereka yakini:

PERBUALAN TERKUNCI – Tetapan ini menggunakan sebuah senarai tersedia yang mengandungi segala bentuk teguran, soalan, jawapan, komen dan kenyataan yang lazimnya digunakan. Jika anda memilih tetapan Perbualan Terkunci untuk anak anda, dia hanya boleh menggunakan frasa-frasa yang telah ditetapkan dalam senarai tersebut untuk berkomunikasi dengan kanak-kanak lain.

PERBUALAN TERKAWAL – Tetapan ini membenarkan anak anda menaip mesej perbualan sendiri. Untuk mengelakkan penggunaan bahasa yang tidak bersesuaian, nama, nombor telefon dan alamat daripada dikongsikan anak anda secara tidak sengaja dalam perbualan mereka dengan kanak-kanak lain, Perbualan Terkawal dilengkapkan dengan fungsi penapisan perkataan dan penyekatan yang terkini dan dikemaskini dari semasa ke semasa. Mereka yang didapati menggunakan bahasa yang tidak bersesuaian, atau menghasut/menggalakkan kanak-kanak lain untuk berkelakuan secara tidak bersesuaian, mungkin akan digantung akaun ataupun dilarang daripada memasuki Dunia Ceria untuk selama-lamanya.

Para ibu bapa /penjaga boleh memilih tetapan perbualan untuk anak mereka sewaktu pendaftaran. Ia boleh ditukar pada bila-bila masa sahaja, tetapi hanya boleh dilakukan oleh para ibu/bapa.

Q2. Bolehkah saya berkongsi maklumat log masuk saya dengan orang lain?

Jangan sesekali berbuat demikian!

Untuk memastikan akaun anda selamat, anda haruslah ingat untuk TIDAK berkongsi maklumat log masuk anda dengan sesiapa pun.

Jika anda berkongsi komputer dengan orang lain, ataupun menggunakan komputer awam seperti di sekolah atau café siber, pastikan anda tidak ‘save’ kata laluan anda ketika pendaftaran atau permainan.

Jika orang lain mendapat akses kepada akaun anda, mereka boleh menyamar sebagai anda dalam Dunia Ceria, menukar paras rupa watak ataupun rumah anda, membelanjakan kesemua dinar yang anda bekerja susah payah untuk mengumpul, serta mungkin menyebabkan akaun anda digantung atau diharamkan.

Q3. Apakah Penyelaras Komuniti?

Kami mengambil sekumpulan pemain yang sangat berbakat, berpengalaman dan berdedikasi untuk memastikan Dunia Ceria sentiasa ceria dan selamat bagi semua pemain. Setiap orang penyelaras ini berpengalaman dalam bidang yang melibatkan kanak-kanak, telah lulus penyiasatan latar belakang dan dilatih untuk memberikan bantuan proaktif kepada pemain-pemain kami.

Penyelaras-penyelaras Komuniti kami juga merupakan pemain dalam Dunia Ceria, dan anda mungkin terserempak dengan mereka semasa menjelajahi Dunia Ceria. Anda boleh melaporkan apa-apa sahaja kelakuan tidak bersesuaian pemain-pemain lain kepada pasukan penyelaras kami melalui butang Bantuan di tetapan yang berada di kanan bawah skrin permainan.

Ingat, kita perlu mengingatkan antara satu sama lain untuk sentiasa berkelakuan baik dalam Dunia Ceria supaya ia kekal ceria!

Q4. Mengapakah nama akaun / nama watak saya ditukar?

Semua nama akaun dan nama watak dalam Dunia Ceria akan ditapis oleh sistem penapisan kata-kata istimewa kami yang melarang para pemain menggunakan kata-kata kesat.

Walaupun kita sentiasa mengemas kini sistem ini, namun ada kes-kes di mana sesetengah perkataan yang tidak selaras dengan Kod Ceria. Jika ini berlaku, pasukan Penyelaras Komuniti kami akan menukarkan nama akaun atau nama watak yang terlibat.

Jika nama akaun atau nama watak anda telah ditukar, kemungkinan besar ia tidak mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan dalam Kod Ceria.

Bagaimana hendak mengelakkan ini daripada berlaku? Pastikan nama akaun atau nama watak yang anda pilih adalah ceria, asli, istimewa dan tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Q5. Bolehkah saya menjadi seorang penyelaras?

Kami menghormati semangat anda. Terima kasih!

Pihak Astro bertekad untuk menawarkan permainan-permainan online yang selamat dan ceria untuk kanak-kanak dan keluarga-keluarga Malaysia. Keselamatan merupakan keutamaan nombor satu kami, itulah sebabnya kami mendapatkan perakuan dan pengiktirafan daripada badan-badan antarabangsa berkenaan yang bertauliah.

Pasukan penyelaras kami terdiri daripada mereka yang ceria, mesra dan bertenaga. Fokus utama mereka ialah pengalaman permainan online yang selamat. Mereka semua berpengalaman dalam bidang-bidang yang melibatkan kanak-kanak dan telah lulus penyiasatan latar belakang yang ketat. Mereka juga diberikan latihan yang mencukupi bagi memastikan mereka sentiasa memberikan pengalaman yang paling baik kepada para pemain.

Untuk menjadi seorang penyelaras, anda mestilah berumur 18 tahun ke atas dan mempunyai pengalaman bekerja yang bersesuaian.

Jika anda tidak memenuhi syarat-syarat ini, usah bimbang! Ada banyak lagi cara-cara lain anda boleh menyumbang kepada keceriaan dan keselamatan Dunia Ceria:

Bertegur sapa dengan pemain-pemain baru dan tunjukkan mereka cara bermain Dunia Ceria yang betul.

Tunjukkan mereka tempat-tempat menarik dalam Dunia Ceria, permainan-permainan yang tiada bandingan, serta semua benda lain yang untuk kita aje!

Melaporkan sesiapa yang melanggar peraturan-peraturan yang ditetapkan dalam Kod Ceria. Tapi ingat, hanya perlu melaporkan kejadian-kejadian yang serius.

Bermain dengan penuh ceria! Inilah cara paling berkesan untuk menunjukkan pemain-pemain lain betapa bestnyer Dunia Ceria!

Q1. Bagaimanakah saya boleh berbual dengan rakan-rakan dalam Dunia Ceria?

Semasa pendaftaran, ibu bapa / penjaga boleh memilih satu daripada dua jenis kaedah borak yang terdapat dalam Dunia Ceria:

1. PERBUALAN TERKUNCI –menggunakan sebuah senarai tersedia yang mengandungi segala bentuk teguran, soalan, jawapan, komen dan kenyataan yang lazimnya digunakan. Jika anda memilih tetapan Perbualan Terkunci untuk anak anda, beliau hanya boleh menggunakan frasa-frasa yang telah ditetapkan dalam senarai tersebut untuk berkomunikasi dengan kanak-kanak lain.

2. PERBUALAN TERKAWAL –menaip mesej perbualan sendiri. Untuk mengelakkan penggunaan bahasa yang tidak bersesuaian, nama, nombor telefon dan alamat daripada dikongsikan anak anda secara tidak sengaja dalam perbualan mereka dengan kanak-kanak lain, Perbualan Terkawal dilengkapkan dengan fungsi penapisan perkataan dan penyekatan yang terkini dan dikemaskini dari semasa ke semasa. Mereka yang didapati menggunakan bahasa yang tidak bersesuaian, atau menghasut/menggalakkan kanak-kanak lain untuk berkelakuan secara tidak bersesuaian, akan digantung akaun ataupun dilarang daripada memasuki Dunia Ceria untuk selama-lamanya.

Kaedah Perbualan Terkawal kami menggunakan sistem penapisan perkataan dan percakapan yang menepati piawaian industri untuk memastikan hanya bahasa yang bersesuaian boleh digunakan dalam permainan ini.

Dunia Ceria melarang penggunaan kata-kata kesat, perkongsian maklumat peribadi seperti nombor telefon, emel dan alamat sebenar. Banyak perkataan dan ayat yang tidak boleh digunakan dalam permainan ini.

Semua perbualan akan direkodkan, di samping dipantau dan dikaji semula oleh pasukan Penyelaras Komuniti kami. Kami akan menyiasat mana-mana perbualan yang tidak bersesuaian dan mengambil tindakan-tindakan yang sewajarnya. Sistem penapisan kami juga dikemas kini dari semasa ke semasa.

Pemain-pemain yang didapati menggunakan bahasa yang tidak bersesuaian, ataupun menghasut pemain-pemain lain untuk menggunakan bahasa atau berkelakuan tidak bersesuaian mungkin akan digantung akaun. Dalam kes-kes yang ekstrem, mereka mungkin dihalang daripada kembali ke Dunia Ceria untuk selama-lamanya.

Q2. Mengapakah sesetengah perkataan tidak muncul?

Terdapat dua sebab sesetengah perkataan tidak muncul:

1. Ia tersenarai dalam rekod perkataan-perkataan tidak bersesuaian dalam sistem penapisan kami.

2. Terdapat kesalahan ejaan dalam perkataan tersebut. Misalnya, jika anda taip “ko”, sistem kami tidak akan menerimanya. Jika anda taipkannya sebagai “kau”, maka ia akan diterima pakai. Macam latihan ejaan kan!

Adalah dimaklumkan bahawa anda juga tidak boleh menaipkan yang berikut dalam Dunia Ceria:

Abjad-abjad istimewa seperti @#$%^&*

Segala jenis nombor, samada integer mahupun tulisan

Ini adalah untuk memastikan Dunia Ceria kekal selamat dan ceria bagi semua. Ingat, setiap perbualan direkod dan dikaji semula oleh pasukan penyelaras kami. Kami akan menggantung akaun-akaun mereka yang melanggar peraturan-peraturan ini. Dan jika mana-mana pemain didapati melanggar peraturan-peraturan ini berulang kali, mereka akan dihalang daripada kembali ke Dunia Ceria untuk selama-lamanya.

Q3. Mengapakah saya tidak boleh menaipkan mesej-mesej saya?

Anda hanya boleh menaipkan mesej-mesej anda jika ibu bapa / penjaga anda membenarkan anda untuk mengguna pakai kaedah Perbualan Terkawal.

Jika anda tidak dapat lihat kotak mesej borak (chat) dalam paparan dalaman permainan anda, bermakna anda tidak dibenarkan untuk menggunakan Perbualan Terkawal.

Pemain-pemain yang menggunakan Perbualan Terkunci tidak akan dapat melihat mesej-mesej daripada mereka yang menggunakan Perbualan Terkawal. Ini memastikan mereka yang yang menggunakan Perbualan Terkunci bermain di bawah tahap keselamatan yang maksimum.

Jika anda menggunakan Perbualan Terkawal dan mendapati seseorang pemain tidak menghiraukan mesej-mesej anda, ini mungkin kerana dia menggunakan tetapan Perbualan Terkunci dan tidak dapat melihat mesej-mesej anda. Apa kata anda cuba melambai ataupun menggunakan emotikon?

Q1. Apakah kegunaan Dinar?
Seperti dalam dunia sebenar, dinar adalah wang. Dalam Dunia Ceria, anda boleh menggunakan dinar untuk membeli pakaian baru dan aksesori-aksesori fesyen yang lain untuk watak anda, ataupun perabot atau barangan lain untuk rumah anda. Seronok kan?
Q2. Bagaimana saya boleh mendapatkan lebih dinar?
Anda boleh mendapatkan dinar melalui semua jenis permainan termasuk 4 permainan kerjaya yang ada dalam Dunia Ceria.
Q3. Di manakah saya boleh membeli barangan untuk watak dan rumah saya?
Seperti dalam dunia sebenar, untuk membeli-belah ni kenalah pergi ke Bandar Ceria!
Q4. Apakah Permata?
Permata adalah matawang yang jauh lebih berharga berbanding dinar. Malah, kekuatan permata adalah begitu hebat, sehingga ia mampu membelikan barang yang jarang adik-adik jumpa atau yang luar biasa, dan juga dapat mengembalikan tenaga kepada watak Ceria anda!
Q5. Bagaimanakah saya boleh mendapatkan lebih Permata?
Setelah selesai mendaftar, anda sudahpun memiliki beberapa permata. Untuk mendapatkan lebih banyak permata, anda hanya perlu menguatkan semangat ingin tahu anda – cuba berinteraksi dengan sebanyak mungkin watak Ceria yang menghuni Dunia Ceria.
Q6. Bagaimanakah caranya untuk membeli barangan?
Membeli-belah dalam Dunia Ceria sememangnya mudah! Kedai-kedai di Bandar Ceria diatur mengikut jenis kerjaya. Anda hanya perlu menggerakkan watak Ceria anda ke pintu masuk kedai / warung yang ingin and kunjungi. Apabila anda sudah berada di dalam suatu kedai, pembantu kedai akan menunjukkan anda kesemua barangan yang terdapat dalam kedai tersebut.
Q7. Bagaimanakah caranya untuk menggunakan barangan yang telah dibeli?

Setelah selesai membeli-belah, klik pada ikon Barangan berbentuk beg di bahagian kawalan. Pada barisan barangan yang muncul, anda akan nampak watak anda di sebelah kiri, dan kesemua barangan anda di sebelah kanan, termasuk barangan yang baru saja anda beli.

Di bawah watak anda terdapat tiga ruangan yang menunjukkan topi, pakaian dan seluar. Barangan yang watak anda sedang memakai sepatutnya muncul dalam setiap ruangan ini.

Untuk memberikan barangan baru untuk dipakai untuk watak anda, cari barangan tersebut dari ruangan di sebelah kanan. Klik dan seretkan barangan yang terpilih ke ruangan bawah watak anda yang bersesuaian untuk menggantikan barangan yang sudah berada di dalam ruangan tersebut.

Q1. Bagaimanakah caranya untuk kembali ke rumah saya?
Senang je - klik ikon rumah pada bahagian kawalan yang terletak di bahagian bawah skrin.
Q2. Bagaimanakah caranya untuk melawat rumah ahli Dunia Ceria yang lain?

Klik pada watak ahli Dunia Ceria yang anda ingin melawat rumahnya. Pada laman butiran yang muncul, klik ikon rumah yang serupa dengan ikon rumah pada bahagian kawalan.

Jika anda ingin melawat rumah seseorang ahli Dunia Ceria yang telahpun ditambahkan ke dalam Senarai Rakan anda, anda hanya perlu cari nama watak rakan tersebut dalam senarai itu dan klik padanya. Laman butiran yang sama akan muncul. Klik ikon rumah yang serupa dengan ikon rumah pada bahagian kawalan.